Monday, December 12, 2011

KARANGAN BERFORMAT PERBAHASAN

Perbahasan

(Tips Penting)

1) Karangan jenis perbahasan mengkehendaki anda menyatakan hujah-hujah sama ada menyokong ataupun membangkang sesuatu tajuk yang telah diberikan.

2) Karangan jenis perbahasan dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:

(a) perbahasan berbentuk pertandingan

- anda dikehendaki berpendirian tetap serta perlu mematuhi segala prosedur perbahasan yang sepatutnya

- anda haruslah memulakannya dengan kata-kata hormat atau kata alu-aluan. Contohnya, Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Tuan Pengetua, Guru Penolong Kanan, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pembangkang yang amat saya geruni, guru-guru, murid-murid, serta tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati.

(b) perbahasan bukan pertandingan (berdasarkan tajuk)

- anda hanya perlu memberikan perhatian kepada format perbahasan seperti kata alu-aluan dan kata-kata penghadapan

- anda hendaklah terus menulis hujah-hujah utama sahaja tanpa mengemukakan kata alu-aluan dan seumpamanya. Calon harus memulakan karangan dengan mendefinisikan tajuk, membahaskan tajuk mengikut kehendak soalan, dan mengegaskan pendirian anda terhadap tajuk tersebut.

3) Tajuk karangan jenis perbahasan biasanya berkaitan dengan perkara-perkara yang dapat menimbulkan dua pendapat yang bertentangan, iaitu sama ada menyokong atau membangkang sesuatu isu atau tajuk yang diberikan.

4) Sebelum menulis karangan perbahasan, anda harus jelas akan pendirian yang perlu diambil supaya penulisan anda nanti tidak mengelirukan.

5) Segala hujah anda haruslah tepat, meyakinkan, matang dan logik, serta menjawab kehendak soalan.

6) Semua fakta yang anda ajukan haruslah dihuraikan serta mempamerkan tahap kematangan yang dapat diterima oleh pemeriksa.

7) Gunakan bahasa yang mudah, tepat, padat dan meyakinkan. Hindarilah daripada menggunakan bahasa yang berbelit-belit atau berbunga-bunga.

8) Andai kata anda berperanan sebagai pihak pencadang, anda haruslah membentangkan hujah-hujah yang menyokong tajuk. Begitulah sebaliknya jika sebagai pembangkang, anda mesti mengutarakan hujah-hujah yang menentang tajuk serta perlu mematahkan hujah-hujah pihak pencadang dengan memberikan alasan yang meyakinkan.

9) Pada bahagian kesimpulan atau penutup, anda harus menegaskan semula dan merumuskan hujah-hujah yang telah dikemukakan lebih awal.

Format karangan perbahasan

(Kata alu-aluan + pengenalan dari tajuk bahas)

_____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________. Kata penegas

(Isi 1)

____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

(Isi 2)

____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

(Isi 3)

____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

(Penutup)

____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

Contoh karangan

1. Anda mewakili pihak pembangkang dalam suatu pertandingan perbahasan yang bertajuk “Aktiviti menonton pita video mendatangkan banyak kesan negatif kepada kehidupan kita”. Tulis hujah anda selengkapnya.

Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang adil lagi bestari, barisan pencadang yang saya hormati, dan hadirin sekalian. Salam sejahtera dan selamat pagi.

Kini tibalah masanya untuk saya bangun bagi mengenukakan hujah-hujah saya sebagai pembangkang pertama tajuk perbahasan pada pagi ini. Sebelum itu, izinkan saya menghuraikan definisi tajuk perbahasan kita pada pagi ini. Pita video merupakan perisian yang digunakan bersama-sama sejenis perkakasan, iaitu alat perakam video. Alat ini mampu mengeluarkan imej gambar dan suara melalui peti televisyen. Kesan negatif pula ialah akibat yang tidak membawa kebaikan atau keuntungan. Oleh itu, apa-apa yang kita bahaskan hari ini ialah kesan atau akibat yang dibawa oleh pita video dalam kehidupan kita masa kini.

Sesungguhnya pita video banyak memberikan kebaikan atau manfaat bagi kita. Dengan adanya pita video, seseorang itu tidak lagi perlu ke panggung wayang untuk mencari hiburan dengan menonton filem. Hal ini akan mengelakkan seseorang itu keluar rumah dan hubungan antara ahli keluarga akan bertambah erat. Pertukaran pita video antara jiran dan rakan-rakan juga akan mengeratkan perpaduan dan keharmonian dalam sesuatu masyarakat. Menonton video juga merupakan suatu hiburan yang menjimatkan kerana satu pita video yang disewa adalah jauh lebih murah daripada harga tiket pawagam.

Hadirin sekalian,

Menonton pita video juga dapat mengisi masa lapang kanak-kanak atau orang tua di rumah. Masa lapang di rumah yang sebelum ini dihabiskan dengan melakukan berbagai-bagai perkara lain akan diisi dengan menonton video. Mereka tidak berasa bosan lagi tinggal di rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti. Pita video sebenarnya mampu menjadi alat pembelajaran yang paling berkesan. Berbagai-bagai tajuk dan bidang perkara yang dirakamkan mampu menjadi alat bantuan dalam pendidikan. Hal ini demikian kerana menonton tayangan video menggabungkan dua deria, iaitu pandang dan dengar. Kajian telah membuktikan bahawa kemampuan seseorang itu mengingat dan belajar banyak bergantung pada panacindera pandang dan dengar. Maka tidak hairanlah kini terdapat berbagai-bagai judul pita video di pasaran yang dapat memenuhi selera semua orang. Oleh itu, menonton video merupakan aktivi yang tidak menjemukan.

Warga dewan sekalian,

Pita video juga mampu merakamkan setiap rancangan yang dipancarkan melalui kaca televisyen. Faktor ini dapat menyumbang terhadap pengurusan masa seseorang. Rancangan yang telah dirakam boleh ditonton pada hari dan masa mengikut selera penontonnya sendiri. Belajar dengan menggunakan pita video juga amat murah dan menguntungkan. Satu pita video dapat digunakan beberapa kali yang kita suka.

Penggunaan pita video ini juga telah mengakibatkan beberapa buah panggung wayang ditutup. Sebagai ganti, panggung-panggung wayang ini digunakan untuk berbagai-bagai fungsi pula. Ada yang dijadikan pusat beli-belah, pusat hiburan, pusat permainan u dan restoran. Hal ini merupakan suatu perkembangan yang sihat kerana sekali gus akan mempelbagaikan kegiatan perniagaan dan mewujudkan persaingan perniagaan di sesuatu tempat.

Hadirin sekalian,

Sebelum saya mengundurkan diri, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa saya tidak bersetuju dengan tajuk perbahasan kita yang menyatakan bahawa menonton pita video banyak mendatangkan kesan negatif kepada kehidupan.

Sekian, terima kasih.

2. Anda telah mengambil bahagian dalam suatu pertandingan perbahasan antara sekolah. Sebagai pihak pencadang, sediakan hujah-hujah anda bagi tajuk “Belajar di universiti dalam negara lebih baik daripada luar negara”.

Sediakan hujah anda selengkapnya.

Selamat sejahtera dan selamat pagi saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pembangkang yang disegani, guru-guru, murid-murid, dan hadirin yang dohormati. Pada hari yang ceria ini, saya akan membahaskan tajuk perbahasan kita, iaitu “Belajar di universiti di dalam negara lebih baik daripada luar negara”. Saya selaku pencadang bersetuju sepenuhnya dengan tajuk perbahasan pada hari ini.

Sebelum saya membahaskan tajuk ini dengan lebih lanjut, mari kita sama-sama meneliti dahulu maksud yang terungkap di sebalik tajuk tersebut. “Belajar” bererti berusaha untuk memperoleh ilmu pengetahuan, Manakala “dalam negara” bermakna tanah air sendiri dan “universiti” pula bermakna badan yang ditubuhkan untuk melakukan tugas-tugas pengajaran yang lebih tinggi.

Hadirin yang dihormati,

Seperti yang kita sedia maklum, kos untuk belajar di universiti tempatan adalah lebih murah dan rendah berbanding dengan belajar di universiti luar negara. Hal ini demikian kerana perbelanjaan untuk pengajian di luar negara merangkumi kos tiket penerbangan ke destinasi negara tersebut, penginapan, makanan, dan bayaran yuran yang mahal. Tambahan pula kadar tukaran mata wang asing yang tinggi turut menambah kos keseluruhan. Hal ini tentu membebankan pelajar.

Selain itu, di negara ini juga telah banyak pusat pengajian tinggi sama ada awam atau swasta yang ditubuhkan dan setaraf dengan universiti luar negara. Antaranya, Universiti Malaya, Universiti Multimedia, Universiti Telekom, dan sebagainya. Pada masa yang sama, kerajaan juga telah mengimport tenaga pengajar asing untuk meningkatkan kualiti pengajian tinggi di negara ini. Oleh hal yang demikian, kita perlu menyahut seruan kerajaan supaya meneruskan pengajian di dalam negara. Tambahan pula, segala kemudahan serta kepakaran di institut tempatan setanding dengan institusi luar negara.

Hadirin yang dihormati,

Belajar di luar negara akan merenggangkan hubungan silaturahim para pelajar dengan sanak saudara. Hal ini demikian kerana mereka akan berada jauh dari sisi keluarga dan tidak akan dapat menikmati belaian kasih sayang ibu bapa. Tanpa kasih sayang dan perhatian yang secukupnya, mereka akan mudah terjerumus dengan budaya negatif yanga diamalkan di negara-negara Barat.

Dengan bilangan pelajar di luar negara yang semakin bertambah setiap tahun, pihak kerajaan akan mengalami kerugian dari segi pertukaran wang asing. Hal ini akan memburukkan keadaan ekonomi negara. Jadi, dapatlah ditegaskan di sini bahawa belajar di luar negara merupakan satu pembaziran wang. Sudah terang lagi bersuluh bahawa belajar di universiti di dalam negara lebih baik daripada belajar di universiti di luar negara.

Hadirin yang dihormati,

Nampaknya masa seakan-akan cemburu melihat saya berbicara. Bak kat orang, setiap yang bermula pasti akan berakhir, begitu juga dengan hujah saya ini. Perbahasan ini akan diteruskan oleh sahabat-sahabat saya untuk menegakkan pendirian kami bahawa “Belajar di universiti di dalam negara lebih baik daripada belajar di universiti di luar negara”. Sebelum saya mengundurkan diri, saya ingin mengutarakan kata-kata hikmat buat renungan hadirin yang dihormati, iaitu “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik hujan batu di negeri sendiri”.

Sekian, saya akhiri dengan ucapan terima kasih.

Soalan Latihan

Tulis karangan di bawah. Panjang karangan anda hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

1. Sempena Minggu Bahasa di sekolah anda, satu pertandingan bahas diadakan. Tajuk perbahasan itu ialah “Pertanian moden lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan”. Anda mewakili pasukan pembangkang dalam pertandingan bahas itu.

Sediakan teks bahas anda selengkapnya.

2. Anda telah terpilih menyertai suatu pertandingan perbahasan di sekolah. Tajuk perbahasan ialah “Internet lebih banyak mendatangkan kebaikan daripada keburukan”.

Nyatakan hujah-hujah anda sebagai pihak pencadang.

5 comments:

  1. cikgu boleh tidak cikgu beri karangan pebahasan ''kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pemandu''

    ReplyDelete
  2. salam cikgu boleh tak antar kan satu karangan tentang 'pendapat anda tentang program budi atau program guru penyayang yang dilaksanakan disekolah anda' . tlong cikgu ! nak kan isi ,. :D help me pliss . sebab tengah bengang ngan tajuk yang diberikan .

    ReplyDelete
  3. Salam cikgu boleh tk hantar perbahasan yang bertajuk "MEMBACA BUKU LEBIH BAIK DARIPADA MENONTON TELEVISYEN"

    ReplyDelete
  4. malas larh aq nak baca...panjang gila.....macam bodoh je.....

    ReplyDelete