Wednesday, December 21, 2011

Latihan Uji Minda: Karangan Berita



Tuliskan sebuah karangan berita lengkap berdasarkan video yang ditonton. Pelajar boleh merujuk format karangan berita di bahagian kandungan. Berita yang dituliskan boleh diposkan di Facebook Cikgu Senyum-senyum.

UJI MINDA : SURAT RASMI



SOALAN : TULIS SEPUCUK SURAT RASMI KEPADA JABATAN ALAM SEKITAR UNTUK MEMBUAT ADUAN TENTANG PENCEMARAN SUNGAI DI TEMPAT ANDA.

TIPS: SILA KLIK LINK INI UNTUK RUJUKAN TAMBAHAN http://luas.gov.my/2011/index.php/en/sungai-klang-sungai-dan-pantai-237/punca-pencemaran-sungai-dan-pantai-241

Surat Jemputan Ke Majlis Rasmi.


7523584 Pegawai Rendah Muda Norazhan bin Aripin

Pengarah Program
Majlis Makan Beradat Wisma Pegawai Kadet PALAPES UPSI
Pasukan Latihan Pegawai Simpanan
Universiti Pendidikan Sultan Idris
35900 TANJONG MALIM
Perak Darul Ridzuan

Tel: 05-4506835
Faks: 05-4585942

April 2011

PALAPES UPSI/A/1/2011

Leftenan Kolonel Mohammad Nasir Bin Haji Yahaya AMN AMP PNBB (Bosnia & Liberia)
Ketua Jurulatih
Pasukan Latihan Pegawai Simpanan
Universiti Pendidikan Sultan Idris
35900 TANJONG MALIM
Perak Darul Ridzuan




JEMPUTAN KE MAJLIS MAKAN BERADAT WISMA PEGAWAI KADET PALAPES UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS 2011

Assalamualaikum Warahmatullah hiwabarakatuh

1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan salam penuh takzim kepada Tuan seisi keluarga semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera dan dirahmati oleh Allah Subahanahuwataala.

2. Dengan segala hormatnya saya ingin membawa perhatian Tuan, bahawa satu Majlis Makan Beradat Wisma Pegawai kadet PALAPES UPSI akan diadakan pada 9 April 2011 bertempat di Dewan Sri Tanjung pada jam 8.15 malam.

3. Saya selaku Pengarah Program, dengan segala hormatnya menjemput Tuan untuk menghadiri majlis tersebut. Semoga dengan kehadiran Tuan akan menyerikan lagi majlis yang akan diadakan nanti. Bersama-sama ini disertakan kad jemputan beserta aturcara majlis untuk perhatian Tuan.

4. Sekian, terima kasih.

Monday, December 12, 2011

KARANGAN BERFORMAT LAPORAN

KARANGAN BERFORMAT LAPORAN

TIP PENTING

· Laporan boleh meliputi pelbagai aktiviti seperti sukan tahunan, minit mesyuarat, laporan aktiviti persatuan dan sebagainya.

· Karangan ini mempunyai format tertentu yang harus dipatuhi untuk mengelakkan kehilangan markah format.

· Lazimnya karangan ini bertujuan untuk menceritakan perisitiwa atau perkara yang telah berlaku dan harus dimaklumkan atau direkodkan.

· Laporan perlulah memaparkan peristiwa mengikut urutan atau secara kronologi.

· Karangan jenis ini menghendaki anda melaporkan sesuatu peristiwa yang didengar atau dilihat.

· Hendaklah disampaikan dengan tepat dan mudah difahami.

· Dalam membuat karangan berbentuk laporan , kamu hendaklah menggunakan butir-butir yang munasabah atau lojik.

· Kamu perlu memastikan jenis laporan, sama ada laporan aktiviti persatuan, perayaan, sambutan, perasmian, atau lawatan ke sesuatu tempat.

· Untuk laporan aktiviti persatuan sertakan nama ahli jawatankuasa, sejarah penubuhan, jumlah ahli, dan aktiviti sepanjang tahun. Pelapor mesti berjawatan setiausaha.

· Untuk laporan lawatan pula , tulis apa yang dilihat, dirasa, dan dialami serta kesan lawatan terhadap pembelajaran.

· Penulisan mengikut perkembangan peristiwa, yang dahulu didahulukan.

· Gunakan bahasa yang ringkas dan padat

Format karangan laporan

Tajuk Laporan : Ditulis dengan huruf besar pada setiap awal kata dan digaris.

ditulis dengan huruf besar semuanya. Tajuk hendaklah ditulis

ditengah-tengah. Boleh ditulis dalam dua baris jika tajuk terlalu panjang.

Isi Laporan : Bermula dengan pendahuluan dan diakhiri dengan penutup.

Pengakuan pelapor: Ditulis di sebelah kiri selepas perenggan terakhir.

Tarikh : Ditulis di sebelah kanan laporan,setentang dengan pengakuan pelapor.

Tandatangan : Ditulis di sebelah kiri bahagian bawah selepas pengakuan

pelapor.

Nama Pelapor : Ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan selepas

tandatangan.

Jawatan Pelapor : Ditulis di sudut kiri bahagian bawah laporan dan dibubuh tanda

koma di hujung dan ditulis nama persatuan yang diwakili

CONTOH KARANGAN LAPORAN.

Tajuk : Andaikan bahawa anda setiausaha sesuatu persatuan di sekolah anda. Anda dikehendaki menyediakan laporan tentang kegiatan-kegiatan yang telah dijalankan oleh persatuan tersebut .Sediakan laporan itu selengkapnya.

Rangka:

1.Pendahuluan:

penubuhan persatuan-anggota persatuan-tujuan penubuhan

2.Isi

a) kegiatan-peraduan menulis esei tentang sains-pemenang

b) ceramah -pensyarah dari USM

c) gotong-royong membersihkan kawasan sekolah

d) lawatan ke Taman Ular

3.Penutup

-berterima kasih kepada guru penasihat.

KARANGAN

Laporan Kegiatan Persatuan Matematik Dan Sains Sekolah Kebangsaan Darau.

Persatuan Matematik dan Sains dibentuk pada tahun 1982.Anggota-anggota persatuan ini berjumlah 60 orang. Mereka terdiri daripada pelajar Tahun Empat hingga Tahun Enam. Persatuan ini dibentuk untuk meningkatkan taraf pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Selain itu ,melalui persatuan ini,pelajar dapat bertukar-tukar pendapat tentang pelajaran masing-masing.

Persatuan ini telah menjalankan beberapa kegiatan sepanjang tahun 1995.Kegiatan-kegiatan tersebut berbentuk akademik dan bukan akademik. Kegiatan pertama yang kami jalankan ialah”Peraduan Menulis Esei Tentang Sains”.Sambutan yang diberikan terhadap peraduan ini adalah sangat menggalakkan. Peraduan ini dimenangi oleh Suriani Mat Zin,pelajar Tahun Enam Mawar.

Kami juga menganjurkan ceramah tentang sains dan matematik .Ceramah ini disampaikan oleh pensyarah dari Universiti Malaysia. Selain itu ,kami turut mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Kami memperindahkan kawasan taman pra dengan menanam berbagai jenis bunga dan menamakan pohon-pohon tersebut mengikut istilah sains.

Pada cuti penggal kedua persekolahan,kami mengadakan lawatan ke Taman Ular di Batu Pahat. Sebagai hasil lawatan ini,kami banyak memperolehi pengetahuan tentang penyelidikan yang dijalankan oleh pihak Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia di situ.

Pada keseluruhannya,kami berpuas hati dengan kegiatan-kegiatan yang kami jalankan .Kami juga berterima kasih kepada guru penasihat,Cikgu Rosmini Jaafar yang banyak memberikan bimbingan kepada kami.

Disediakan oleh, 25 Januari 1996

Azmi

_______________

(AZMI SULAIMAN)

Setiausaha Persatuan Matematik dan Sains

Sekolah Kebangsaan Darau, Jerteh,Terengganu.

- mesti ditulis mengikut format ( jika tersalah format, - tolak 3 markah )

a] tajuk / perkara ( jika tiada - tolak 1 markah )

b] nama pelapor ( jika tiada - tolak 1 markah )

- boleh ditulis dalam bentuk karangan biasa / catatan

KARANGAN BERFORMAT BERITA

KARANGAN BERFORMAT BERITA

TIP PENTING

· Karangan ini membincangkan tajuk yang menjadi isu semasa, peristiwa yang menarik paerhatian seperti bencana alam, kejayaan, hiburan, berita luar negara dan sukan.

· Struktur karangan ini harus mempunyai tajuk, nama tempat dan hari. Pastikan berita anda mempunyai pendahuluan, isi dan penutup.

· Pengolahan isi berdasarkan pendapat sendiri atau berdasarkan kisah yang ingin dilaporkan. Isi juga boleh terdiri daripada cadangan, data, statistik dan hasil penyelidikan.

· Anggaplah bahawa karangan ini akan dipaparkan dalan akhbar, maka segala maklumat yang diberikan harus benar dan menarik minat pembaca.

Contoh isi karangan berita

Dua orang kanak-kanak dipercayai telah diculik oleh bapa sendiri ketika sedang bermain di halaman rumah. Sebagai seorang wartawan tuliskan berita selengkapnya.

Isi yang dicadangkan.

Pendahuluan

§ Seorang bapa telah menculik anaknya di Johor Bahru, Johor.

§ Tindakan lelaki itu mengejutkan ahli keluarga mangsa dan masyarakat setempat.

Isi-isi penting

§ Pasangan suami isteri yang baharu saja bercerai. Hak penjagaan telah diberikan ibu kanak-kanak tersebut. Bapa mangsa telah diberikan kebenaran oleh pihak mahkamah untuk melawat anak-anak itu yang berada di bawah jagaan bekas isterinya.

§ Kejadian berlaku apabila Maimon yang telah ke dapur sementara membiarkan anak-anaknya bersama Ahmad (bekas suami).

§ Apabila dia kembali ke halaman rumah, Maimon mendapati anank-anaknya telah hilang.

§ Dia telah bertanya kepada iiran sebelahnya, Mak Cik Jah memberitahu bahawa dia nampak Ahmad membawa anak-anaknya keluar dari rumah dengan menaiki sebuah kereta.

§ Maimon cuba menghubungi suaminya, namun gagal.

§ Dia bersama-sama Ketua Kampung telah pergi ke balai polis untuk membuat laporan.

§ Pihak polis menjejaki terdapat seorang lelaki bersama-sama dua orang kanak-kanak sedang menuju ke arah Segamat. Pihak polis telah membuat sekatan jalan raya untuk menjejaki suami Maimon.

§ Berita penculikan tersebut telah dihebahkan menerusi saluran televisyen dan radio.

§ Pihak polis mendapati Ahmad masih berada sekitar Johor dan berusaha untuk mengenal pasti kedudukannya.

Penutup

§ Masyarakat tempatan diminta memberikan kerjasama dalam menyelesaikan kes penculikan dua orang kanak-kanak ini.

§ Gambar kedua-dua kanak-kanak dan Ahmad telah ditampal sekitar bandar Johor Bahru dan diedarkan kepada pengguna tol laluan selatan.

§ Sekiranya mendapat sebarang maklumat orang awam diminta memberikan maklumat di balai polis yang berdekatan.

Contoh isi karangan berita

Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa telah mendapat perhatian orang ramai. Anda sebagai pemberita, laoprkan berita yang selengkapnya.

Pendahuluan

§ Kejadian tanah runtuh telah berlaku di Bukit Antarabangsa jalan keluar ke Lebuh Raya Ulu Kelang.

§ Kejadian berlaku kira-kira jam 4.00 pagi ketika penghuni sedang tidur.

Isi-isi penting

§ Punca kejadian telah dikenal pasti berlaku kerana tanah dan batu-batan yang runtuh telah menutup sepenuhnya jalan utama.

§ Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyatakan punca kejadian berlaku akibat pergerakan bawah tanah.

§ Hujan yang berterusan sepanjang minggu telah memburukkan keadaan.

§ Penduduk percaya bahawa projek pembinaan di lereng bukit turut menajdi punca kejadian tersebut.

§ Mangsa kejadian telah ditempatkan di sekolah berdekatan.

§ Ada juga yang menumpang di rumah sanak-saudara.

§ Kos kemusnahan masih dalam siasatan.

§ Menurut pegawai MPAJ, tiga orang telah maut dalam kejadian tanah runtuh.

§ Pasukan SMART masih meneruskan pencarian mangsa yang dikatakan telah tersangkut di bawah tanah.

§ Cuaca hujan yang berterusan menyukarkan operasi mencari mangsa.

§ Pihak kerajaan negeri dikatakan bersedia untuk membayar wang pampasan ganti rugi dan memberikan bantuan wang serta kemudahan asas.

Penutup

§ Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk menyiasat kejadian tanah runtuh dengan terperinci

§ Projek pembinaan di lereng bukit telah dihentikan kerana tidak memiliki sijil pembinaan yang sah.

CONTOH KARANGAN

Nama tempat Tarikh

KUALA LUMPUR , 24 Mac - Sepasukan polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kereta di sekitar bandar raya. Pihak polis berjaya mengesan beberapa kereta curi hasil daripada serbuan tersebut.

Jurucakap polis menyatakan bahawa siasatan mengenai sindiket itu dibuat beberapa minggu yang lalu. Menurut jurucakap itu lagi,beberapa orang telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Hasil daripada maklumat orang ramai,pasukan polis telah membuat serbuan di sebuah bengkel membaiki kereta di Jalan Ipoh. Lima orang ditahan dalam serbuan itu. Seorang daripadanya dipercayai pakar mekanik. Polis menjumpai kepingan-kepingan pintu yang dicuri .beberapa plat nombor kereta palsu dijumpai juga di bengkel tersebut.

Sementara itu,gerakan sedang dijalankan oleh polis untuk mencari seorang lelaki yang bernama Ah Chong .Dia dapat membantu polis untuk memusnahkan sindiket tersebut. Orang ramai diminta tampil ke hadapan sekiranya mempunyai maklumat tentang lelaki berkenaan.

KARANGAN BERFORMAT SURAT TAK RASMI

PANDUAN KARANGAN ‘SURAT TAK RASMI’

Format:

Alamat pengirim

Ditulis di sebelah kanan di bahagian atas surat.

Tarikh

Ditulis di bawah alamat pengirim, dilangkau satu atau dua baris kosong.

Pembuka kata

Berupa kata-kata pengharapan.

Kata ganti diri penerima

Ditulis di sebelah kiri surat.

Pendahuluan

Berupa ucapan terima kasih, tujuan surat ditulis.

Perenggan-perenggan isi

Dibahagi-bahagikan kepada beberapa perenggan.

Penutup

Ditulis sejajar dengan pembuka kata.

Pengakuan dan tandatangan pengirim

Diletakkan di sebelah kanan bawah surat.

Contoh:

Khalid bin Sulaiman

No. 1, Jalan Tok Jabong,

Taman Tongkang Bahagia,

83010 Batu Pahat.

11 November 2011

Menemui sahabatku Khalid di Batu Pahat, semoga saudara dalam keadaan sihat dan sejahtera hendaknya.

Saudara,

Apa khabar saudara dan keluarga di sana? Saya doakan agar saudara beroleh kesihatan dan kebahagiaan disamping keluarga tercinta.

Baru-baru ini saya pergi melancong ke Kelantan. Sangat menarik pengalaman yang saya dapat rasa di sana. Antaranya saya berpeluang untuk melihat bagaimana ibadat korban disambut. Sungguh berbeza dengan di tempat kita di Johor. Banyak lembu dan kambing yang dikorbankan sempena menyambut Aidil Adha. Saya juga berpeluang membantu melapah seekor lembu yang telah disembelih.

Saya juga melawat Pantai Cahaya Bulan yang dahulunya dikenali dengan nama Pantai Cinta Berahi. Saya lihat ramai orang di sana sedang berkelah bersama-sama keluarga masing-masing. Ada yang berenang, bermain layang-layang dan bermain pasir pantai. Permandangan di sekitar pantai juga sangat cantik, saudara perlu datang ke sini satu hari nanti.

Saya juga berpeluang merasa banyak hidangan tempatan yang sangat terkenal di Kelantan. Antaranya ‘nasi gomok’, ‘nasi kerabu’, nasi berlauk’, dan ‘daging masak singgang’. Banyak lagi menu makanan yang telah saya cuba di sini dan tentulah rasanya amat sedap.

Rasanya, setakat ini sahaja yang dapat saya ceritakan kepada saudara. Semoga kita berjumpa lagi. Akhir kata, sambutlah salam mesra daripada saya untuk saudara sekeluarga. Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Aaron Ajih